Find us on Google+
CollectionsTraditionBibah's TouchContactHome
 




Back

Bibah Songket - Pilihan eksklusif orang kenamaan
10.05.04 Utusan Malaysia

Meniti Gemilang
Oleh Rosmah Dain

Benar kata orang, jika ada kesungguhan, disertakan dengan bakat semula jadi, setiap individu mampu mengukir kejayaan untuk masa depan mereka.

Bibah Songket, adalah satu nama yang sinonim dengan songket buatan tangan eksklusif di kalangan peminat seni songket tempatan.

Dalam meniti kejayaan yang dikecapi selama hampir 20 tahun, rata-rata peminat songket tempatan, malahan luar negara sudah mengenali songket buatan Habibah Zikri atau lebih dikenali dengan Bibah Songket.

Songket rekaan Habibah yang eksklusif tercetus daripada permintaan dan cita rasa tempatan dan luar negara.

Semasa ditemui pada sesi lawatan media yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia di Kuala Terengganu baru-baru ini Bibah, 57, ternyata gembira dengan sambutan hebat terhadap songket buatan syarikatnya.

Beliau memberitahu, pembuatan apa sahaja jenis tekstil terutama songket sentiasa memukau setiap orang.

Menurut Bibah, ramai yang telah menggunakan tekstil sebagai percubaan untuk melahirkan cita rasa mereka kerana menyifatkan keharmonian seni dan keagungan ciptaan Tuhan boleh digabungkan bagi menghasilkan keunikan dalam penciptaan.

Begitu juga dengan Bibah yang mula memikirkan untuk bergiat dalam industri ini ketika beliau sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1970-an.

Sepanjang belajar beliau mempelajari dan melakukan kaji selidik tentang pelbagai penggunaan tekstil tenunan yang bermutu sehinggalah kepada mencipta songket.

Beliau juga telah mendapat kepercayaan untuk bertugas di Kraftangan Malaysia selama 10 tahun. Dengan bakat yang ada pada dirinya, Bibah, meneroka bidang ini secara serius.

"Saya percaya motif atau bunga-bunga pada songket boleh dimodenkan dengan padanan pelbagai warna dan cara pembuatan yang eksklusif.

"Pada masa yang sama, motif dan corak songket lama dan baru boleh digabungkan untuk menjadi satu ilham seni yang menarik perhatian peminat songket tempatan dan luar negara," katanya.

Walaupun enggan memberitahu harga sebenar setiap songket buatan tangan ciptaannya, namun beliau mengakui setiap songket buatannya dijual dengan harga 'eksklusif' bersesuaian dengan corak, motif dan warna serta pelbagai benang yang digunakan termasuk benang emas.

Malah, songket Bibah yang berasaskan ilham dan cita rasa juga sesuai dengan individu yang menempahnya. Kebanyakan mereka terdiri daripada orang kenamaan.

Songket beliau kebanyakan digunakan untuk majlis-majlis tertentu, majlis keraian, dijadikan hadiah dan hantaran serta dipakai oleh golongan kenamaan untuk majlis adat istiadat.

Beliau juga memperkenalkan teknik baru menenun songket. Pengalamannya bekerjasama dengan pelajar-pelajar Iban juga memberikan satu dimensi baru dalam penenunan songket menggunakan kaedah ikat pua dan pelbagai generasi songket.

"Songket adalah satu kesenian tradisi Melayu yang tinggi nilainya. Keagungan kesenian ini patut kita jaga, hormat dan diturunkan kepada generasi ke generasi kerana ia adalah warisan kita sepanjang hayat dan zaman," katanya.

Bibah mengakui songket buatannya agak sukar untuk ditenun. Ia memerlukan tahap kesabaran dan kebolehan yang luar biasa bagi menghasilkan yang bermutu tinggi.

Bayangkan, setiap songket yang dihasilkan melalui proses yang rumit mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk disiapkan.

Namun, bagi peminat seni songket tempatan pasti dapat membezakan antara seni songket buatan tangan beliau dengan songket lain yang berada di pasaran.

Memandangkan songket buatan Bibah adalah yang eksklusif, beliau hanya menyimpan corak yang sama untuk simpanannya dan selebihnya dijual kepada si penempah.

Kini empayar songket Bibah, diteruskan oleh anaknya yang mengendalikan perniagaan di Kuala Lumpur iaitu Sabrena Shamsul Baharin, 25 tahun.

Selain itu beliau juga mempunyai kilang menenun songket di Kampung Rhu Reneh, Terengganu dengan 20 pekerja wanita yang berkemahiran tinggi.




Habibah Zikri bersama anaknya Sabrena Shamsul Baharin menunjukkan salah satu songket ciptaannya.