Find us on Google+
CollectionsTraditionBibah's TouchContactHome
 




Back

Giliran Songket tembus pasaran antarabangsa
15.01.05 Berita Harian

SELEPAS kebaya Nyonya dan batik, kini Wanita Pertama Malaysia, Datin Paduka Seri Endon Mahmood memilih songket sebagai projek terbarunya. Bagi kebanyakan pengusaha songket, langkah Endon itu dilihat bertepatan dengan masanya selepas kejayaan beliau mempromosikan batik Malaysia sehingga berada pada kelas tersendiri.

Pengurus Pemasaran Bibah Songket, Sabrena Shamsul, berkata usaha bagi mempromosikan penggunaan songket secara besar-besaran itu dijangka dapat meningkatkan jualan pengusaha, sekali gus mengurangkan jurang harga fabrik itu yang selama ini dianggap terlalu mahal.

"Berbanding batik, songket mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan khususnya yang eksklusif, biasanya antara tiga hingga enam bulan. Songket benang kapas juga mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

"Ini menyebabkan ramai pengusaha meletakkan harga yang tinggi. Jika mendapat permintaan tinggi saya yakin harga juga boleh diturunkan sehingga orang kata berpatutan dan mampu dimiliki ramai," katanya ketika dihubungi, kelmarin.

Beliau berkata, jaminan kerajaan untuk menyediakan latihan bagi menggalakkan lebih ramai generasi muda termasuk graduan untuk menceburi bidang berkenaan dianggap langkah tepat kerana tidak ramai yang mempunyai kemahiran berkenaan.

Selain itu, katanya, tempoh tenunan yang agak lama turut menjadi cabaran bagi pengusaha songket kerana kebanyakannya masih menggunakan kaedah tradisional untuk menenun.

Pemilik Songket Seri Gamelan Sdn Bhd, Wan Hasnah Wan Endut, berkata langkah kerajaan untuk mempromosikan songket selain menyediakan penyelidikan dan pembangunan bagi membantu industri songket tempatan mungkin dapat meningkatkan produktiviti industri berkenaan.

"Cabaran utama pengusaha songket tempatan ialah saingan daripada negara seperti India dan Pakistan yang turut menghasilkan songket.

"Berbanding kita, mereka menjual songket dengan murah kerana mereka sudah lama menggunakan mesin. Walaupun tidak sebaik kaedah tradisional, tetapi ini membuka pasaran lebih luas bagi mereka.

"Masalah sekarang ialah kita kekurangan penenun mahir. Memang ada pengusaha yang sudah menggunakan mesin kaedah itu terlalu baru dan menimbulkan masalah kerana sedikit kesilapan akan menjejaskan mutu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kebanyakan pengusaha lebih gemar menggunakan kaedah tradisional kerana selain lebih bermutu, songket juga tahan lama sehingga ada yang mencecah 100 tahun bergantung kepada penjagaannya.

Kebanyakan pereka fesyen di negara ini turut mengalu-alukan projek terbaru Endon itu yang dilihat bakal menyemarakkan lagi industri fesyen tempatan yang satu ketika dulu begitu lesu dan terhad untuk golongan tertentu.

Pereka fesyen terkenal yang cukup sinonim dengan rekaan berasaskan songket, Salikin Sidek, berkata usaha berkenaan adalah satu bonus kepada pereka fesyen dan pengusaha songket yang selama ini kurang diberi perhatian memandangkan masyarakat masih menganggap fabrik berkenaan lebih sesuai untuk majlis tertentu khususnya perkahwinan.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi mencapai hasrat untuk melihat songket muncul sebagai fabrik pelbagai guna, imej songket perlu dibentuk supaya dapat lari daripada identitinya.

"Sebagai pereka fesyen saya melihat kami boleh menjadi pencetus aliran baru dalam bidang ini. Usaha Datin Paduka itu merintis jalan bagi penggunaan songket dan kamilah yang dapat menggerakkannya dengan idea lebih kreatif khususnya dari segi pengolahan rekaan.

"Memandangkan saya sudah lama tampil dengan rekaan berasaskan songket, saya berpendapat songket sebenarnya boleh dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu fesyen semata-mata.

Jika orang menganggap tekstur fabrik ini keras dan tidak sesuai untuk dibuat pakaian biasa, kita gunakan kaedah gabungan," katanya.

Bagi mereka yang arif dengan rekaan fesyen, pasti menyedari Salikin sudah lama mengaplikasikan penggunaan songket dalam rekaannya.

Namun, Salikin lebih gemar menggabungkan songket dengan kain polos supaya tidak tanpak sarat dan berlebihan.

Selain itu, katanya, beliau banyak menggunakan songket dengan motif bunga tabur yang lebih sesuai dengan cita rasa masyarakat hari ini khususnya generasi muda yang menggemari rekaan lebih sederhana dan ringkas.

Pemilik bersama rumah fesyen Kapas Couture Sdn Bhd, Kem Salleh, berkata songket Malaysia berupaya menembusi pasaran antarabangsa lebih-lebih jika mendapat bantuan daripada pihak tertentu memandangkan rekaan tempatan jauh lebih baik berbanding songket luar.

"Songket bagaikan satu seni yang memerlukan kemahiran lebih berbanding jika kita menghasilkan batik.

"Tidak keterlaluan jika dikatakan songket tempatan jauh lebih baik dan bermutu daripada luar tetapi ketiadaan promosi menyebabkan industri ini tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Saya yakin dengan usaha Datin Paduka dan dibantu pihak tertentu seperti Kementerian Pelancongan, songket dan rekaan berasaskan fabrik ini dapat menembusi pasaran antarabangsa," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha bagi mempromosikan songket perlu dijalankan secara bersepadu supaya kesannya berterusan dan menyeluruh.




Kaedah tradisional digunakan bagi menghasilkan songket bermutu.