Find us on Google+
CollectionsTraditionBibah's TouchContactHome
 


Back

Hadiah 33 tahun ceburi tenun songket – Habibah
07.03.07 Utusan Malaysia

Jiwa seni yang diwarisi daripada bapanya dan minatnya terhadap seni lukis dan songket telah membawa kejayaan kepada Habibah Zikri, 59, apabila dipilih menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007.

Habibah merupakan perintis kepada tenun songket bercorak grafik moden, menenun ayat-ayat al-Quran untuk dijadikan songket hiasan dan mengaplikasikan teknik tenun ikat dan pua dalam tenunan songket yang dihasilkan.

Di samping mengekalkan corak tradisi pada pakaian, sarung dan sampin, beliau turut menghasilkan rekaan songket untuk hiasan dalaman, kelengkapan rumah dan cenderamata.

Beliau yang berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, kemenangannya adalah hadiah kepada pengorbanannya selama 33 tahun mengabdikan diri dalam seni tenun songket. Katanya, songket tenun adalah satu warisan yang harus diwarisi oleh semua generasi kerana ia melambangkan identiti budaya serta mampu mengangkat martabat seni Melayu di persada dunia.

"Pada saya, selama 33 tahun menceburi bidang tenunan songket, banyak boleh dilihat pada seni ini.

"Jika dahulu, songket tenun hanya ditumpukan kepada pakaian, sarung dan sampin tetapi kini ia telah diaplikasikan kepada hiasan dalaman, kelengkapan rumah dan cenderamata malah coraknya telah dipelbagaikan, bukan sahaja tradisi malah kontemporari.

"Ini menunjukkan seni warisan tenun itu mempunyai potensi untuk terus berkembang sekiranya ada usaha-usaha yang boleh menambah nilai kepada sesuatu produk itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Habibah menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

Beliau menerima wang tunai RM30,000, sepersalinan songket dan watikah iringan. Habibah mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Sungai Petani dan kemudian melanjutkan pengajian dalam jurusan tekstil pada tahun 1971 di Institut Teknologi Mara, kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau memberitahu, kemenangan yang diperoleh semalam tidak akan membuat dirinya puas.

"Saya sebenarnya bukan seorang yang mudah berpuas hati. Kerja saya ialah mencuba dan mencuba rekaan sampai saya puas hati. Mengeluarkan songket ini ialah satu kerja seni, kita buat ciptaan dari segi warna, teknik, benang, corak, kita cuba sampai jadi cantik.

"Sebab itu harganya tinggi, kita buat sampai puas hati," katanya.

Menurut Habibah, pengorbanan pertama iaitu meletakkan jawatan sebagai pereka di Kraftangan Malaysia bagi mengusahakan tenunan songket yang dinamakan Bibah Songket di belakang rumahnya di Chendering, Kuala Terengganu, adalah tindakan yang betul.

"Saya hanya bermodalkan RM6,000 dengan enam orang pekerja. Kini bilangan pekerja hampir mencecah 50 orang. Walaupun agak perit pada mulanya, namun kesukaran dihadapi dengan tabah dan semangat yang kuat.

"Tidak dinafikan bahawa kadangkala percubaan yang dilakukan menemui kegagalan tetapi itulah menjadikan saya lebih kreatif dan akhirnya membuahkan karya yang lebih membanggakan," jelasnya.

Pada Habibah, bagi memastikan kualiti songket yang dihasilkan sentiasa yang terbaik, beliau terlebih dahulu menyediakan reka corak pada sehelai kain yang hendak ditenun mengikut permintaan pelanggan.

"Ini adalah keistimewaan yang ada pada Bibah Songket iaitu menghasilkan songket tenun yang eksklusif dan mempunyai nilai estetika yang tinggi," katanya. Songket ciptaan beliau pernah dijadikan cenderamata negara kepada Queen Elizabeth dari United Kingdom sempena Persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Kuala Lumpur pada 1989.

Habibah turut mencipta songket untuk dijadikan Jubah Canselor, Naib Canselor dan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), malah karya kreatifnya dijadikan sebagai hiasan eksklusif Istana Negara, Istana Melawati, Istana Johor dan pejabat-pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di luar negara.

Jelas beliau, Bibah Songket turut menyertai beberapa siri promosi dan pameran perdagangan di dalam dan luar negara dalam usaha mengenengahkan songket keluaran syarikat itu.

"Bibah Songket turut dijadikan fesyen eksklusif oleh pereka fesyen dan butik tempatan seperti Datuk Bernard Chandran, Radzuan Radzwill, Butik Kapas Couture dan Embun. ‘‘Saya berbangga kerana fesyen-fesyen itu telah diperagakan di Minggu Fesyen London dan Bali sekaligus membawa Bibah Songket dikenali di negara luar," jelasnya.

Habibah mengakui bahawa songket masih dianggap sebagai barangan mewah kerana harganya yang mahal.

"Ia benar, kerana songket ini merupakan seni halus yang perlukan ketelitian. Kadang-kadang dalam sehari, penenun hanya menenun sebanyak 5 sentimeter sahaja dan mengambil masa dua bulan bagi sehelai kain siap ditenun.

"Inilah rekaan eksklusif yang mempunyai harga tinggi tetapi saya juga ada membuat kain tenun yang tidak begitu mahal bagi menggalakkan lebih ramai pembeli," katanya.

Selain menerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007, beliau pernah memenangi Anugerah Rekaan Terbaik dalam pertandingan WICITRA 1984 anjuran Kraftangan Malaysia, Anugerah The Best Traditional Textile ASEAN (1987) di Jakarta dan Anugerah Seni Tampak (2002).