Find us on Google+
CollectionsTraditionBibah's TouchContactHome
 


Back

FFKL iktiraf penenun
09.04.09 Berita Harian
By Shaidah Shafie

Fabrik tenun dan songket pacu industri fesyen ke taraf global

FIESTA Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian Sdn Bhd yang berlangsung di Hotel One World dan pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama, Petaling Jaya, kelmarin tidak keterlaluan jika dikatakan acara tempatan pertama yang mengenengahkan keistimewaan tenun selain penenun itu sendiri.

Dengan membawa penenun untuk turut berada di atas pentas, secara tidak langsung FFKL turut mengiktiraf individu di belakang tabir yang terbabit secara langsung dengan pembuatan tenun, fabrik warisan yang cukup istimewa di negara ini.

Dengan tema Sentuhan Tenun, FFKL menampilkan 10 penenun dari Terengganu dan Pahang yang menyumbangkan fabrik tenun masing-masing kepada 10 pereka fesyen tempatan untuk dihasilkan menjadi busana mengikut ilham pereka berkenaan.

Penenun terbabit adalah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket (Sri Gamelan Songket), Zaidah Songket, Atikah Songket TTD, Tenun Diraja Pahang Felda Chini 05, Terengganu Songket, Perusahaan Tenun Pulau Keladi, Nur Atikah Songket serta Tenun Corak Tun Razak.

Pengurus Pemasaran Bibah Songket, Sabrena Shamsul Baharen, berkata FFKL wajar diberi penghargaan oleh seluruh penenun kerana membawa banyak kebaikan untuk mereka yang terbabit dengan kerja menenun atau boleh dianggap sebagai individu penting di sebalik pertukangan fabrik tenun dan songket.

“Selalunya kita melihat acara fesyen membawa naik pereka bersama busana yang dihasilkan, tetapi FFKL memberi pengiktirafan kepada kami yang mengusahakan fabrik itu. Secara tidak langsung, FFKL mencetus kesedaran kepada masyarakat mengenai ada individu yang menghasilkan kain tenun dan songket itu.

“Pada masa sama, pereka juga boleh mengetahui nilai dan mutu kain kerana mereka bekerjasama dengan kami. Pastinya pereka mahukan yang terbaik untuk busana atau adi busana yang mereka hasilkan dan tidak mungkin akan menggunakan fabrik tenun serta songket dari India atau Indonesia kerana mutunya adalah berbeza,” katanya.

Sabrena juga mengalu-alukan acara ini dijadikan sebagai acara tahunan kerana selain menerima pengiktirafan oleh penggiat dan peminat fabrik tenun serta songket, penenun juga berasa dihargai oleh industri fesyen serta merangsang mereka menghasilkan kain yang lebih indah motifnya bagi diketengahkan pereka untuk diperkenalkan kepada umum.

Pengurus Perniagaan Sutera Pulau Keladi, Azman Zakaria, berkata FFKL adalah landasan terbaik buat mereka mempromosikan hasil tenunan dan songket kerana sebagai pengusaha tenun yang berada di luar Kuala Lumpur, agak susah bagi mereka mempromosi hasil perusahaan.

“Acara ini pastinya meninggalkan kesan positif kepada penganjur dan kami, penenun yang terbabit turut mendapat kesan baik berkenaan kerana sekurang-kurangnya hasil usaha kami diiktiraf masyarakat yang arif dengan fesyen dan fabrik.

“Jadi usaha ini tidak sia-sia dan ada sesuatu untuk kami jadikan pembakar semangat bagi mengekalkan penat lelah meneruskan perusahaan warisan di kampung kerana hasil tenunan ini boleh diibaratkan seperti berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan fabrik moden lain,” katanya.

Beliau tidak bermaksud ingin meraih perhatian daripada masyarakat, tetapi pengiktirafan sebegitu adalah penting untuk melihat penerimaan masyarakat terhadap seni perusahaan fabrik tenun dan songket supaya terus kekal serta tidak ditelan arus zaman.

“Dengan pengiktirafan begitu, kita mengetahui masyarakat masih menghargai fabrik khazanah warisan bangsa kita. Malah, apabila ada yang memberikan perhatian terhadap sehelai fabrik tenun dan songket yang dipamerkan, kami sudah berasa dihargai kerana kami yang menghasilkannya.

“Apatah lagi apabila kami diminta naik ke pentas peragaan bersama model yang menyarungkan busana daripada fabrik tenun dan songket, ia adalah kejayaan besar buat penenun dan pereka keseluruhannya. Saya dan warga penenun lain berasakan penganjur lebih layak diberi penghargaan besar kerana sanggup mengetengahkan kami yang sentiasa berada dalam lingkungan industri fesyen dan fabrik yang saling berkait rapat,” katanya.

Pastinya FFKL musim kedua akan ditunggu kemunculannya kerana dengan kata penekanan memartabatkan fabrik tenun dan songket, ia menjadi lebih bermakna khususnya kepada seluruh individu yang terbabit dengan industri fesyen. Tidak mustahil dengan adanya gabungan penenun, pereka dan penganjur, fabrik yang ingin dimartabatkan penggunaannya di kalangan penggemar fesyen antarabangsa akan menjadi satu fenomena luar biasa suatu hari nanti di pentas peragaan dunia.

FFKl membabitkan 10 pereka seperti Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman, Chandra Shegar, Calvin Thoo, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Zery Zamry, Amir Luqman dan Nik Erwan Roseli.

Acara yang julung kali dianjurkan Berita harian sdn Bhd itu berlangsung selama dua hari dengan majlis gala diadakan di Hotel One World, Petaling Jaya pada 6 April, manakala pada sebelah petangnya dan Selasa lalu diadakan pertunjukan fesyen sebanyak dua sesi setiap hari di pusat beli-belah One Utama, Bandar Utama.

Penaja utama bagi solekan dan tatarias rambut ialah Secret, manakala Euro Moda Sdn Bhd adalah penaja fabrik moden. Penaja lain ialah Fruitale, R&R Craft dan Leesa Formula menaja cenderahati.