Find us on Google+
CollectionsTraditionBibah's TouchContactHome
 




Back

Raja Permaisuri Agong hadir Gala Fiesta Fesyen
07.04.09 Berita Harian

Main

RAJA Permaisuri Agong diiringi Hajar (dua dari kiri), Anthony (dua dari kanan), Manja (tengah), Mustapa (kiri) dan Pengarah Urusan Euro Moda Sdn Bhd, Jasleen Kaur.

FFKL sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008

KUALA LUMPUR: Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, semalam, mencemar duli ke majlis Gala Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) yang diadakan di sini, sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.

Acara pembuka tirai FFKL yang julung kali diadakan itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Hadir sama, isteri Pengerusi NSTP, Puan Sri Hajar Ahmad; Timbalan Pengarang Kumpulan BHSB, Mustapa Omar dan Pengarang Eksekutif Berita BHSB, Mahfar Ali. FFKL diadakan selama dua hari bermula semalam di pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor dengan tema 'Sentuhan Tenun.'

Ketika berucap pada majlis itu, Manja berkata, penganjuran FFKL bermatlamat mengangkat kain tenun seperti songket dan tenun Pahang Diraja ke peringkat lebih tinggi terutama menerusi pemakaian bukan saja oleh masyarakat tempatan khususnya selebriti, bahkan di persada antarabangsa.

"Kami berharap pertunjukan fesyen ini dapat meningkatkan pemakaian kain tenun yang menjadi warisan tradisional kita sekali gus mengangkat warisan dan budaya bangsa. Ia mempunyai kaitan dan menjadi lambang mewakili budaya serta peradaban masyarakat Melayu," katanya.

Beliau berkata, FFKL menampilkan gabungan pereka fesyen dan pembuat kain tenun dengan harapan ia menjadi satu identiti unik dalam bidang fesyen negara, sekali gus membantu meningkatkan permintaan untuk tekstil tempatan.

FFKL membariskan 10 pereka fesyen berbakat, iaitu Nik Erwan Nik Roseli, Chandra Shegar, Hatta Dolmat, Rizman Ruzaini, Hazwani Othman, Calvin Thoo, Amir Luqman, Aidawati Saidin, Nazreen Idris, Nik Erwan Roseli dan Zery Zamry.

Sementara itu antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI, Nur Atikah Songket, Tenun Pahang Diraja dan Terengganu Songket, manakala penaja bagi FFKL, antara lain ialah Secrets, Euro Moda, R&R Craft, Fruitale dan Leesa Formula.