Find us on Google+
CollectionsTraditionBibah's TouchContactHome
 




Back

Personaliti: Habibah martabat songket
24.03.07 Berita Harian

Penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara 2007 beri nafas baru kepada fabrik warisan tradisional
Oleh Nor Affizar Ibrahim

“SAYA tidak pernah terfikir pun untuk mendapat pengiktirafan setinggi ini. Sepanjang berkecimpung dalam bidang ini saya sentiasa menumpukan diri pada kerja dan meneruskan minat yang dipupuk sejak kecil lagi. Saya bersyukur, dengan setiap kurniaan yang diberikan Allah,” kata penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara, Habibah Zikri apabila diminta mengulas mengenai kejayaannya itu.

Walaupun di hati pernah tersemat azam bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi pengusaha songket yang berjaya, Habibah yang sudah lebih 33 tahun menceburi bidang tenunan songket mengakui tidak terlintas langsung di fikiran untuk menerima penghargaan tinggi seperti itu.

Wanita yang lebih dikenali adiguru dan kini antara nama besar dalam industri songket negara, ternyata bukan diulit mimpi, tetapi berdepan dengan realiti dan hari itu adalah detik paling bermakna baginya. Ketika tangan menyambut watikah penghargaan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis perasmian hari Kraf Kebangsaan 2007 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang lalu, hatinya berbunga mekar. Sukar untuk membayangkan perasaan gembira di hati, tetapi pada riak wajah Habibah seolah-olah menyatakan berasa puas dan bangga dengan segala usaha serta pengorbanannya selama ini.

“Saya berharap, industri kraf negara ini akan terus meningkat maju. Dalam mencapai kemajuan negara, lebih banyak lagi cabaran ditempuh untuk mempertahankan seni kraf negara. Harapan saya, dengan adanya pemberian anugerah seperti ini, ia akan memberikan lagi semangat kepada saya dan mereka yang terbabit dalam bidang kraf,” katanya.

Selain watikah iringan beliau turut menerima wang tunai RM30,000 dan sepasang persalinan songket.

Mengenai hadiah wang tunai yang diterima, Habibah berkata beliau belum mempunyai perancangan terhadap duit dimenangi.

Bagaimanapun, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan selain keluarga yang banyak memberi sokongan kepadanya untuk bertapak daripada satu tangga kejayaan ke satu tangga kejayaan sehingga meletakkan namanya sebagai pereka terkenal dan disegani di negara ini.

Mengimbas pembabitan awal dalam industri tenunan songket, Habibah berkata jiwa seni pada dirinya diwarisi daripada ayah yang gemar mengumpul koleksi barangan kraf. Malah, sejak zaman kanak-kanak lagi beliau gemar melakar, melukis dan melihat kepada keindahan alam semula jadi.

Pemandangan serta alam flora menjadi subjek utama dalam karya. Selepas tamat sekolah menengah, Habibah memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Di pusat pengajian tinggi itulah beliau mendalami bidang seni reka khususnya dalam bidang tekstil.

Pada 1974, beliau ditawarkan bekerja di Kraftangan Malaysia sebagai pereka dan diberi tanggungjawab menghasilkan rekaan baru kraf tekstil tempatan. Pada masa sama, beliau mengambil peluang untuk terus mendalami bidang tenunan, khususnya songket.

Katanya, sebagai pereka beliau sering turun padang melihat dan berjumpa sendiri penenun songket. Malah, kesempatan itu juga memberinya ruang untuk mendalami ilmu tenunan dan mengetahui lebih mendalam untuk melakukan proses pembuatan dari awal sehingga akhir.

“Saya tidak begitu pandai menenun. Bukan tidak mahu belajar, tetapi kesuntukan masa membataskan saya untuk berbuat demikian. Sebagai pereka, bukan saja harus memikirkan mengenai corak, tetapi beberapa kajian juga perlu dilakukan. Jadi, memang tidak sempat hendak belajar menenun secara tekun,” katanya.

Sembilan tahun berkhidmat sebagai pereka, akhirnya Habibah meletakkan jawatan dan mengusahakan tenunan songket sepenuh masa. Cita-citanya mendapat sokongan daripada suami serta keluarga.

Berbekalkan bakat serta kemahiran sebagai pereka, Habibah memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket. Beliau menubuhkan syarikatnya sendiri, Bibah Songket yang kini menjadi satu jenama tersohor di kalangan pencinta songket tanah air.

“Saya berasal dari Kedah, tetapi minat yang mendalam dalam bidang ini menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menjadikan Terengganu sebagai tempat bermastautin bersama keluarga tercinta,” katanya.

Pengorbanan pertama yang dilakukan ialah dengan mengubah suai sebahagian daripada ruang rumah menjadi bengkel untuk beliau berkarya. Di bengkel kecil itu beliau memulakan kerjaya sebagai pengusaha songket.

Dengan modal yang tidak seberapa, beberapa ‘kek’ dan alat tenunan serta bahan mentah dibeli dan ditempatkan di belakang rumah. Beliau kemudian mengupah beberapa orang anak muda untuk menenun mengikut caranya.

Beliau dibantu oleh adiknya, Nora Zikri, yang juga bekas pelatih di Kraftangan Malaysia. Beliau melukis dan kemudian memindahkan hasil karya itu ke dalam reka corak songket. Kesukaran yang dialami dihadapi dengan ketabahan dan semangat yang kuat.

“Tidak dinafikan bahawa kadangkala percubaan yang dilakukan menemui kegagalan. Kegagalan dan kesilapan menjadikan saya lebih kreatif dan akhirnya membuahkan karya kreatif yang amat membanggakan,” katanya.

Dalam menghasilkan rekaan, beliau sememangnya sentiasa mencari kelainan dan memberi nilai tambah pada setiap karya dihasilkan kerana mencipta sesuatu yang cantik adalah satu kepuasan. Sebagai pereka tekstil juga Habibah sentiasa melakukan pembaharuan agar songket yang ditampilkan mempunyai identiti tersendiri. Begitu pun, beliau sentiasa memastikan ciri tradisional songket menjadi teras pada setiap hasil rekaannya.

Beliau yang turut meminati seni tampak sejak kecil, menyimpan cita-cita untuk melakukan transformasi dalam industri songket negara. Baginya, kain songket yang menjadi warisan agung perlu diberi nafas baru agar mampu dimiliki dan diterima pakai semula oleh semua lapisan masyarakat.

Habibah yakin, kain songket yang terhad fungsi serta kegunaannya boleh dikomersialkan. Lantaran itu, ketika songket mula dilupai masyarakat tempatan, tanpa menoleh ke belakang, dirinya bertekad untuk memberi suntikan baru dalam industri songket negara.

Dengan bakat serta kreativiti yang dimiliki, beliau mula menghasilkan reka corak baru yang berteraskan tradisional. Songket lama yang dihiasi dengan reka corak tradisi menjadi inspirasi dalam rekaan.

“Ketika itu, saya meminjam kain songket lama dan membuat kajian ke atas reka corak tradisi yang dijadikan sebagai teras pada rekaan. Tampuk manggis, bunga pedada, bunga pecah empat dan pucuk rebung diolah, digubah dan digarap dalam bentuk grafik mengikut daya kreativiti. Hasilnya, lahirlah reka corak tenunan songket kontemporari namun masih menyerlahkan ciri tradisi,” katanya.

Kejayaan lain yang dicapai Habibah ialah menjadi perintis kepada tenun songket yang mempelbagaikan warna benang emas agar tidak terhad kepada warna emas dan perak saja. Beliau turut mengaplikasi teknik tenun ikat pua di dalam tenunan songket yang dihasilkan.

Kini, Habibah melatih penenun muda di bengkelnya. Kebanyakan mereka adalah remaja lepasan sekolah menengah dan tiada asas menenun. Kumpulan itu diberikan latihan dan bimbingan supaya dalam masa dua tahun, mereka mampu menjadi penenun mahir.

“Seni tenunan songket perlu diperluaskan dan diperturunkan kepada generasi muda agar ia tak hilang dek zaman. Inilah antara sebabnya saya melatih penenun muda. Bagaimanapun, kebanyakan bekas pekerja mahir saya masih meneruskan kerja menenun sendiri di rumah mereka,” katanya.

Menerusi jenama Bibah Songket, syarikatnya banyak bekerjasama dengan pihak yang ingin memajukan industri songket. Ini termasuk, usahanya menceburi bidang peragaan fesyen melalui kerjasama pereka fesyen tempatan seperti Kapas Couture dan Radzuan Radziwil.

Di peringkat antarabangsa, Bibah Songket turut menyertai rombongan perdagangan oleh Kraftangan Malaysia seperti ke Dubai Trade Fair dan Tokyo Gift Show. Habibah juga sanggup menghasilkan songket untuk pereka fesyen, Bernard Chandran bagi fesyen peragaan di Minggu Fesyen London dan untuk Embun di Minggu Fesyen Bali.

PROFIL: Anugerah Tokoh Kraf Negara

Nama: Habibah Zikri

Tarikh lahir: 5 Februari 1948

Asal: Sungai Petani, Kedah

Adik beradik: Anak ketiga daripada sembilan beradik

Suami: Shamsul Baharia Abdul Mutalib

Anak: 3 orang - 2 lelaki, Sharidan & Syaifuddin dan 1 perempuan, Sabrena

Pendidikan: Ijazah jurusan tekstil dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Antara Anugerah & Pencapaian:

  • 1984 memenangi pertandingan Wicitra di bawah kategori Best Design Award anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
  • 1987 memenangi anugerah ‘The Best Traditional Textile ASEAN, Jakarta
  • 2002 menerima Anugerah Seni Tampak

    FAKTA: Menarik mengenai daya kreativiti rekaan songket Habibah


  • Hasil songket ciptaan beliau pernah dijadikan sebagai cenderamata negara kepada Queen Elizabeth sempena Persidangan CHOGM di Kuala Lumpur.
  • Beliau turut mencipta songket untuk dijadikan jubah peringkat tertinggi bagi Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
  • Karya kreatif beliau dijadikan sebagai hiasan eksklusif Istana Negara, Istana Melawati, Istana Johor, pejabat kedutaan MATRADE di luar negara, Muzium Kesenian Islam, bangunan UMNO Kuala Lumpur dan hotel ternama di seluruh negara.
  • Songket rekaan beliau dijadikan sebagai setem pos kenang-kenangan sempena pelancaran Songket Seni Warisan Agong bersama-sama TV3 dan Pos Malaysia pada tahun 2004.
  • Bibah Songket mercu tanda kejayaan beliau dan kini seramai 50 penenun songket bernaung di bawahnya, membantu menghasilkan songket yang halus, cantik dan berkualiti.
  • Beliau mempelbagaikan penggunaan songket supaya tidak terhad kepada pakaian tradisi sebaliknya, menggunakan songket dalam hiasan dalaman sebagai kemasan lembut seperti alas meja, alas pinggan serta sarung kusyen.
  • Inovasi reka corak beliau menjadikan tenunan songket diterima sebagai hiasan art décor, setaraf dengan seni lukisan antarabangsa sebagai kemasan dinding.




PENGHARGAAN: Habibah menerima Anugerah Tokoh Kraf daripada Abdullah, baru–baru ini.